Kereta terhumban ke laut akibat nahas, pemuda hilang dikenali

GEORGE TOWN — Identiti pemandu kenderaan yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi ini telah dikenal pasti.

Mangsa seorang lelaki dikenali Moey Yun Peng, berusia 20 tahun.

Ketua polis daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pemillik kereta, yang juga bapa kepada pemandu kenderaan utiliti sukan Mazda CX-5 itu, membuat laporan polis pukul 5 petang selepas anaknya yang memandu kereta itu tidak pulang ke rumah mereka di Butterworth.

"Lelaki berusia 63 tahun itu membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang dan dia menerima maklumat dari rakan anaknya itu bahawa mangsa disyaki terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sebelum terhumban ke dalam laut.

"Menurut bapanya mangsa adalah pelajar sebuah kolej swasta dan tinggal di Taman Kempas, Butterworth," katanya di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata sehingga kini, tiga saksi bebas dan dua rakan mangsa telah tampil membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan.

"Polis telah merakamkan percakapan mereka termasuk dua rakan mangsa yang mendakwa lelaki itu terlibat dalam kemalangan tersebut dan menurut mereka dalam perjalanan pulang daripada menyambut hari lahir rakan mereka di George Town.

"Sementara itu, seorang saksi bebas yang nampak kejadian telah memberikan kerjasama dan berkongsi video kamera papan pemuka kereta miliknya kepada polis," katanya.

Nik Ros Azhan berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.

Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, di sini awal pagi ini. — Bernama