Mengapa Perdana Menteri perlu pecat Menteri Perpaduan

Minggu lalu Menteri Perpaduan, yang juga terlibat dengan isu di Seafield tersebut, sekali lagi menekankan bahawa Kerajaan perlu meratifikasi ICERD walaupun Perdana Menteri telah menyatakan yang Kerajaan tidak akan meratifikasinya.

Pada hemat saya, apa yang Menteri Perpaduan ini tidak faham atau keliru (seperti juga kekeliruan dan kekhilafan beliau berkenaan isu di Seafield bulan lepas) ialah paradoksnya, meratifikasikan ICERD di Malaysia akan membuatkan masalah diskriminasi dan perkauman di negara ini menjadi lebih teruk dan bukannya sebaliknya (baca buku berkenaan ICERD di Malaysia di sini: https://ishamjalil.wordpress.com/2018/12/07/icerd-dan-mengapa-semua-kaum-di-malaysia-perlu-menolaknya/).

Sebab itu, setelah dua kali beliau terkhilaf yang telah mengakibatkan dua kesan yang besar yang menyebabkan ketegangan hubungan kaum dalam tempoh hanya beberapa bulan ini (rusuhan di Seafield dan himpunan anti-ICERD), saya telah menyarankan supaya beliau meletakkan jawatan.

Sebab ini juga saya berpendapat bahawa beliau akan menerukkan lagi masalah perpecahan kaum dan membawa mudarat kepada hubungan kaum di Malaysia dan jauh sekali menyatupadukan rakyat, oleh itu beliau tidak layak untuk menjadi Menteri Perpaduan.

Terdahulu beliau pernah menyampaikan ucapan yang berbaur perkauman yang tersebar di media sosial.

Bagaimana sebelum ini Perdana Menteri boleh melantik beliau untuk menjadi Menteri Perpaduan adalah melangkau pemikiran saya.

Kini, setelah kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh beliau, jika Menteri Perpaduan ini masih tidak mahu meletakkan jawatan, Perdana Menteri boleh memecat beliau.

Namun, apakah YAB Perdana Menteri berani mengambil tindakan ini untuk kepentingan rakyat dan Negara atau masih mahu memberikan beliau peluang?

Lebih lama beliau memegang jawatan itu, lebih banyak kerosakan yang mungkin dilakukannya. Dan setiap kerosakan berkaitan dasar hubungan kaum oleh Kerajaan membawa implikasi yang serius dan kritikal kepada rakyat dan Negara.



Oleh: Isham Jalil


Rujukan:

http://pakdin.my/tag/wytha-moorthy
http://pakdin.my/tag/v-ganabatirau
http://pakdin.my/tag/muhammad-adib
http://pakdin.my/tag/kuil-seafield