Kariah Bukit Sentosa bantah jual arak secara terbuka di pasar raya




HULU SELANGOR - Jawatankuasa Masjid Saidina Ali Bukit Sentosa, giat mengumpul tandatangan penduduk bagi menyatakan bantahan terhadap penjualan arak secara terbuka di dua buah pasar raya dekat sini.




Imam 2 masjid tersebut, Mohd Azamudin Abdul Aziz berkata, pasar raya berkenaan terletak di kawasan kejiranan yang mempunyai 98 peratus penduduk beragama Islam.

Menurutnya, pemilik pasar raya seharusnya peka terhadap sensitiviti masyarakat memandangkan arak adalah haram disisi Islam.

"Kita baharu berjaya mengumpul 800 tandatangan penduduk sejak usaha ini dijalankan setahun lalu dengan sasaran melebihi 3,000 tandatangan."

Di sekitar Bukit Sentosa mempunyai lebih 20,000 penduduk maka pihak masjid akan terus mempergiatkan usaha agar bantahan ini dapat dilakukan secepat mungkin.

"Kita melihat tiada keperluan pasar raya terbabit menjual arak di kawasan majoriti penduduk Islam maka mereka perlu menghentikan jualan secara terbuka," katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat, semalam.

Mohd Azamudin berkata, pihaknya menerima aduan penduduk berhubung perkara tersebut kerana khuatir akan mendatangkan kesan buruk terutama kepada golongan remaja.

Menurutnya, arak merupakan ibu kepada maksiat dan boleh mengundang perbuatan jenayah serta mengancam keselamatan orang lain.

"Jawatankuasa amar makruf nahi mungkar turut menemui longgokan tin minuman keras di bangunan terbiar yang menjadi lokasi anak muda melepak.

"Kita tak pasti siapa yang melakukan, kita bimbang ada orang Islam yang terpengaruh," katanya.