Jangan Besarkan Isu Pulau Kukup Demi Untuk Menutup Kelemahan Kerajaan Pusat

Saya telah membaca mengenai kenyataan Perdana Menteri pada hari ini, 10 Disember, mengenai Pulau Kukup sepatutnya kekal sebagai Taman Negara. Berkenaan isu ini, kerajaan negeri Johor sudah mengeluarkan kenyataan semalam (9 Disember) bahawa Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor. Keputusan itu adalah hasil perbincangan antara kerajaan negeri dengan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri ada menyatakan bahawa Pulau Kukup tidak patut dibangunkan. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini tiada sesiapa pun yang mengeluarkan kenyataan mengenai pembangunan di Pulau Kukup. Isu sebenar mengenai Pulau Kukup adalah kita memerlukan langkah yang lebih progresif untuk memelihara kawasan berkenaan, bukannya untuk dibangunkan. Saya berharap agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah daripada isu sebenar.

4 Disember 2018 – Saya mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Kukup akan menjadi ‘tanah kesultanan dan fungsinya sebagai Taman Negara akan kekal.

5 Disember 2018 – Kenyataan rasmi dikeluarkan oleh DYMM Sultan Johor memperkenankan supaya Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor.

9 Disember 2018 – Menteri Besar Johor mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara selepas perbincangan dengan DYMM Sultan Johor.

10 Disember 2018 – Tun Mahathir berkata Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara dan kerajaan pusat bukan ‘orang luar’.

Apa sebenarnya isu baharu yang Perdana Menteri ingin sampaikan? Keputusan yang sama iaitu Pulau Kukup akan dikekalkan sebagai Taman Negara Johor sudahpun dibuat oleh kerajaan negeri dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sebelum ini.

Dalam kenyataan mengenai isu kuil di Seafield, Subang Jaya, Selangor pada 29 November 2018, Perdana Menteri telah berkata bahawa hal tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak mempunyai hak (untuk masuk campur). Walau bagaimanapun, kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri sendiri mengenai isu Pulau Kukup dalam kenyataan beliau hari ini. Dalam isu Pulau Kukup pula, beliau berkata kerajaan pusat adalah bukan ‘orang luar’ dan bertanggungjawab ke atas semua negeri dan terhadap Pulau Kukup. Oleh itu, kenapa kerajaan pusat ingin masuk campur dalam hal tanah di Johor, tapi tidak mahu melakukan perkara yang sama dalam isu kuil di Selangor? Dalam tempoh masa 12 hari sahaja, Perdana Menteri telah memberi 2 kenyataan bercanggah mengenai bidang kuasa kerajaan pusat mengenai urusan tanah di negeri berlainan. Jika dibuat perbandingan, isu tanah kuil di Subang Jaya, Selangor itu juga adalah sangat serius kerana terdapat rusuhan dan ketegangan antara kaum pada ketika itu.

Antara sebab kenapa DYMM Sultan Johor membuat keputusan untuk memperkenankan Pulau Kukup sebagai ‘Sultanate Land’ adalah untuk memelihara alam semulajadi di kawasan itu dan mengelakkan perkara seperti pembatalan gazet ke atas tanah rizab, sekali gus mengelakkan pembangunan di tanah-tanah berkenaan, seperti yang berlaku di banyak tempat di Malaysia. Anda pasti banyak mendengar mengenai kes-kes pembatalan gazet ke atas tanah rizab dan hutan simpan semata-mata untuk membina lebuh raya dan meluaskan kawasan bandar. Kita memerlukan langkah yang tegas bagi mengelakkan hal itu daripada berlaku di Johor. Lihatlah apa yang berlaku di Taman Laut Sultan Iskandar di Mersing selepas diwartakan sebagai Taman Laut. Kawasan berkenaan telah menjadi kawasan penting untuk memelihara ekosistem dan biodiversiti laut serta menjadi tarikan utama aktiviti skuba terkawal kerana keindahan batu karang dan hidupan laut yang jarang ditemui.

Oleh itu, janganlah memperbesarkan perkara yang sebenarnya tiada isu, demi untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan pusat. Saya juga berharap agar kerajaan pusat mengkaji terlebih dahulu isu sebenar sebelum menuduh perkara yang tidak tepat ataupun mendengar bisikan pihak-pihak tertentu. Selain dari isu ini, rakyat kini juga sering kali mendapati kerajaan pusat membuat banyak “U turn” dalam pelbagai janji, isu dan keputusan. Dan kebanyakan isu-isu tersebut memberi kesan dan impak kepada kehidupan harian rakyat Malaysia.

Kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir mengenai Pulau Kukup, 10 Disember 2018: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/117498

Kerajaan pusat tidak masuk campur isi tanah kuil di Subang Jaya, Selangor, 29 November 2018: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/503369/kerajaan-persekutuan-tak-campur-urusan-tanah-kuil-pm

Kenyataan kerajaan negeri Johor mengenai Pulau Kukup sebagai Taman Negara, 9 Disember 2018: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/proses-warta-santuari-dugong-kini-di-peringkat-akhir-184539

Taman Laut Sultan Iskandar, 2 September 2018: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/proses-warta-santuari-dugong-kini-di-peringkat-akhir-184539


.....

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor